Cyber Cafe 33 - Bab 1


Bab 1

Hujan turun kian lebat membasahi bumi. Banjaran Titiwangsa kelihatan berbalam-balam apabila kilat sekali sekala sabung menyabung menerangi kegelapan malam. Suasana sekeliling kawasan kampus universiti yang terletak berhampiran Banjaran Titiwangsa itu sunyi dan sepi sahaja, hanya lampu-lampu kecil dari bangunan-bangunan sekeliling sahaja yang menyinari.

Di dalam kegelapan malam, dua susuk tubuh terbongkok-bongkok mengusung sesuatu menuju ke arah sebatang pokok besar yang terletak kira-kira 30 meter di belakang bangunan kedai empat pintu dan asrama pelajar perempuan berdekatan. Pokok Angsana sebesar tiga pemeluk itu bergoyang-goyang ditiup angin.

”Letakan saja mayat itu disini. Kau gali lubang cepat!!” Perlahan tapi tegas arahan dari salah seorang yang berbadan agak gempal.

Sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa diletakkan ke tanah. Darah merah bercampur dengan air hujan masih mengalir keluar dari kepala jasad seorang gadis yang berbaju kurung biru. Matanya terbuka luas seolah tidak redha dengan kematian mengejut itu.

Cangkul yang dibawa bersama segera dicapai dan terus dihayunkan ke tanah yang kian membasah. Walau pun hanya melakukannya seorang, pantas sahaja kerja mengali lubang itu. Cebakan demi cebakan ke atas tanah yang digenani air itu dilakukan rancak tanpa henti. Tidak sampai lima belas minit, lubang sedalam empat kaki telah siap telah tersedia.

”Tolong aku tarik mayat ni. Kita campak sahaja ke dalam lubang! Kita kena cepat. Sekarang dah hampir jam 3.00 pagi.”

Walau pun masih lagi dalam keadaan tercungap kepenatan dan kebasahan, mayat si gadis diseret lalu dicampak ke lubang yang mula digenangi air.

”Kambus tanah tu. Letakan ranting kayu, daun-daun di atasnya supaya tiada kesan tanah ni pernah digali!”

Segera tanah itu dikambus kembali tanpa berlengah. Sebaik selesai beberapa ranting kayu, daun-daun basah dan seketl batu besar diletakan di atasnya.

”Ingat! Ini rahsia kita berdua. Kalau rahsia ini bocor, alamatnya kita berdua ke tali gantung!!” Satu suara memberi amaran keras.

”Jangan bimbang, aku tak akan bocorkan rahsia, dengan syarat upah seperti yang dijanjikan lumayan. Hahahaha..!” Jawab satu suara lagi sambil ketawa perlahan.

Dua susuk badan kembali terbongkok-bongkok sambil memandang kiri dan kanan sambil segera bereder meninggalkan kawasan pokok Angsana itu menuju ke arah deretan bangunan kedai.

Secara tiba-tiba guruh berdentum, satu panahan kilat memancar tepat mengenai salah satu dahan pokok angsana itu. Dahan itu rekah lalu jatuh menimpa ke atas kubur tanpa nisan itu.

Suara rintihan seorang perempuan sayup-sayup kedengaran bersama bunyi rintik-rintik hujan yang kian lebat membasahi bumi. Kilat masih terus sabung menyabung.

”Ada suara perempuan menangis..!” Kata salah seorang sambil memandang ke belakang, ke arah kuburan tanpa nesan itu yang tidak lagi kelihatan dalam kegelapan malam.

”Ah! itu perasaan kau sahaja. Aku tak dengar apa-apa pun. Kita ke Cyber cafe 33 hapuskan bukti-bukti.” Jawab satu suara lagi.

Tanah kubur tanpa nesan itu tiba-tiba merekah. Dari rekahan tanah itu, sejulur tangan yang disaluti tanah merah dan darah perlahan-lahan muncul.

”Kenapa kau bunuh aku?“

”Aku dendam kau!”

0 comments:

Post a Comment