Surat Cinta Threasia - Prolog

Prolog

Paras rupa tidak sentiasa menjanjikan kebahagiaan. Ramai yang menderita kerananya. Threasia juga begitu. Walaupun di wajahnya sentiasa kelihatan ceria, namun di hatinya penuh dengan kisah duka. Kegagalan dalam cinta seolah telah sebati dalam dirinya.


“Cintaku kalah pada bulan.”


Aku hanya diam membisu. Wajah Threasia kurenung. Rambutnya yang panjang hitam keperangan terbuai-buai ditiup angin Kundasang. Walau pun tidak begitu memahami ungkapannya, aku hanya mengganggukan kepala seolah-olah mengerti apa yang ingin diperkatakan.


”Kenapa tidak sahaja mencintai apa yang kita ada. Kedinginan ini mencengkam erat diri kita, malah lebih dekat dari bulan. Cintai sahaja kedinginan ini.” Balasku atas apa yang Threasia perkatakan.


Threasia memejamkan matanya bagaikan sedang menikmati kedinginan angin malam yang berhembus dingin. Puncak gunung Kinabalu masih terlihat walau samar-samar dalam kegelapan malam. Tiada wajah sang bulan kelihatan di langit Kundasang.Aku dan Threasia seolah sudah kehilangan kata-kata. Kami hanya berdiam diri. Tiada siapa selain kami di luar bilik dewan hotel di atas puncak bukit ini. Sesekali terdengar deruan hembusan angin. Kedinginan begitu terasa mencengkam. Aku peluk diriku erat untuk menepiskan kedinginan yang datang menerpa.


“Kalau kegagalan itu penanda tahap kebodohan manusia, sayalah antara orang yang paling bodoh di dunia kerana sering gagal dalam cinta.” Ungkap Threasia lagi sambil matanya merenungku sayu seperti mengharapkan secebis simpati dariku.


Memang tidak dapat kusangkal gadis Kadazandusun ini memang cantik sekali. Kulitnya putih persis gadis-gadis Kadazandusun yang lain. Pipinya kemerahan-kemerahan bila melemparkan senyuman.


“Maaf Threasia, saya kurang arif tentang cinta. Saya tidak dapat menasihat kamu.” Jawabku.


Aku segera melangkah perlahan masuk semula ke dewan hotel. Threasia aku tinggalkan sendirian. Peserta-peserta kursus yang aku kendalikan sedang tekun melakukan tugasan yang ku beri tadi. Sebentar lagi sesi sebelah malam ini akan aku akhiri. Aku lihat Threasia masuk semula ke dalam dewan menyertai rakan-rakannya yang lain.


Threasia!


****


Mungkin takdir telah diperuntukan kepadaku untuk kembali semula ke pekan Kundasang ini walau kali ini cuma hanya untuk tiga minggu sahaja. Dulu aku telah bersumpah untuk tidak lagi menjejak kakiku di sini. Pekan kecil ini pernah mencatit kenangan pahit dalam diari kehidupanku. Dairi hitam penuh luka itu telah ku campak jauh ke lembah paling dalam di antara lereng-lereng bukit yang mengeliling gunung Kinabalu.


Aku sendiri kurang pasti kenapa kursus motivasi yang aku kendalikan ini mesti diadakan di pekan ini. Sedangkan banyak lagi kawasan menarik di Sabah yang boleh dipilih. Kenapa sahaja tidak di Keningau atau di Sandakan. Kenapa mesti pekan ini?.


Seramai lima puluh orang pemuda dan pemudi dari Sabah dan Sarawak dihimpunkan di sini dan diserahkan padaku untuk menjalani sesi motivasi. Senang sekali melihat wajah-wajah jernih anak-anak muda. Ada kelihatan cemas sedikit di wajah sesetengah mereka bila tiap kali aku berbicara suara aku agak lantang, apatah lagi wajah ku yang sedikit bengis dengan misai tebal yang menghiasi mukaku.


”Nama saya Yusuf bin Harun. Jangan takut, saya bukan dari golongan makhluk asing yang menjadikan manusia sebagai makanan harian.” Usikku sewaktu pertama kali memperkenalkan diriku kepada mereka. Barulah terlihat senyuman di wajah mereka.


Seorang gadis berkulit putih berbadan sederhana bangun memperkenalkan dirinya. Seorang gadis Kadazandusun yang berwatakan menarik. Seluruh mata tertumpu kepadanya.


“Namaku Threasia, Threasia Loren. Panggil sahaja Threase. Aku gadis Kadazandusun. Usia 25 tahun. Aku dilahirkan di sini, di pekan Kundasang ini. Dan yang paling utama aku masih belum berpunya!” Threasia ketawa tersipu-sipu sambil mempamerkan lesung pipit di pipinya yang kemerah-merahan. Rakan-rakan peserta yang lain bersorak bila mendengar perkataan belum berpunya.


‘Tuan sendiri bagaimana, sudah berpunya? Maksud saya, tuan sudah beristeri dan berapa orang anak?” Satu soalan nakal terbit dari mulut Threasia. Matanya merenung tepat ke mataku. Aku terbaca ada renungan mengoda di matanya.


”Belum!” Jawabku ringkas.”Ah! Mana mungkin seorang lelaki sekacak tuan ini masih belum dimiliki. Tuan ini memilih agaknya atau mungkin emmm.... tuan ini pernah dilukai oleh seorang perempuan lalu menolak cinta yang datang?” Threasia mengusik aku lagi sambil disambut oleh gelak tawa rakan-rakannya yang lain.


Aku cuma tersenyum. Benar! Hakikatnya aku telah dilukai oleh insan sejenismu Threasia. Walaupun telah lama berlalu, luka yang hingga kini masih terasa ngilunya. Namun aku bukan seorang pendendam. Segalanya telah kumaafkan. Aku tidak pernah membenci insan yang bernama perempuan. Cuma perasaan untuk mencintai seolah-olah telah pupus dari hatiku.


”Aku ingin mengubati luka hati tuan. Itu pun kalau tuan izinkan!” Ucap Threasia agak kuat sambil matanya dikenyitkan. Serentak itu satu senyuman manis dilemparkan pada ku.


”Huhuuuuu..! Hohooooo....!” Sorakan dan gelak hilai ketawa peserta-peserta kursus kedengaran kuat.


Threasia!


****


”Dahulu saya hampir memeluk islam.” Threasia memulakan bicara dalam sesi ta’aruf. Air matanya tiba-tiba mengalir perlahan di pipinya. Matanya redup seolah-olah melihat kembali ke masa lalunya.


”Semasa saya di universiti, saya jatuh cinta dengan seorang pelajar lelaki melayu. Itulah cinta pertama saya. Saya berjanji pada diri saya, cinta itu adalah yang pertama dan terakhir. Lelaki itu berjanji untuk mengahwini saya sebaik tamat pengajian.” Sambung Threasia semula selepas terhenti sekejap untuk mengelap air mata yang mengalir di pipinya. Rakan-rakan kumpulannya yang lain hanya diam menunjukan simpati.


”Malangnya, selepas tamat pengajian, lelaki yang saya cintai itu bernikah dengan gadis lain yang telah menjadi tunangannya sejak sekian lama. Saya rasa tertipu. Saya merasa amat terseksa dan terluka. Hidup ini bagaikan tidak lagi bererti.” Threasia mula teresak-esak.


Suasana sekeliling senyap dan sunyi seolah bersimpati. Dua tiga orang rakan kumpulannya yang lain menepuk bahu Threasia memintanya bersabar. Mereka juga bagaikan tidak menyangka seorang gadis yang kelihatan lincah dan sentiasa ceria malah menjadi seorang perserta yang sentiasa memotivasikan rakannya lain memiliki sejarah luka dalam dirinya.


Aku berusaha mengumpulkan kata-kata nasihat untuk sekurang-kurangnya meringankan beban yang ditanggungnya tapi mulutku bagaikan terkunci rapat. Tiada kata-kata nasihat dan perangsang yang datang ke mindaku seperti selalu. Apakah kelukaan yang ditanggungnya turut meresap ke kalbuku. Simpati atau aku mula jatuh cinta?


Threasia merenungku seakan meminta aku berkata sesuatu. Renungannya menusuk kalbuku. Apakah renungan itu satu isyarat yang perlu aku fahami dan tafsirkan maksudnya.


”Semua manusia di dunia ini mempunyai takdirnya sendiri. Kegagalan dalam cinta hanyalah satu dari takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Pasti ada hikmah tersembunyi yang perlu kita cari. Tidak tuhan lakukan sesuatu itu dengan sia-sia. Kegagalan dalam cinta mungkin bererti kita akan menemui satu cinta yang jauh lebih baik dari cinta yang terdahulu. Mungkin sahaja tuhan ingin memberikan yang terbaik selepas kita telah merasakan sesuatu yang kurang baik terlebih dahulu....” Aku memula bicara dengan suara yang lembut dengan harapan agar mudah diterima oleh peserta-peserta yang lain juga.


Benarkah kata-kata yang keluar dari mulutku ini? Jujurkah aku menyatakan ini sedangkan aku sendiri telah lama menutup pintu hatiku kepada cinta. Biar berapa kali cinta pernah cuba mengetuk pintu hatiku, sengaja aku biarkan ia berlalu tanpa jawab.


”Threasia, niat kamu untuk memeluk agama islam adalah suatu yang suci, tapi kamu masih tidak melakukannya. Andainya niat kamu memeluk islam hanya kerana cinta kamu kepada seorang lelaki, maka apabila lelaki itu hilang dari kamu, maka hilang juga cinta kamu kepada islam. Cintailah islam kerana Allah kerana Allah tidak akan pernah hilang dari hidupmu. Islam bukanlah agama ikutan. Ianya adalah kepercayaan dan keimanan dalam hati.” Tegasku kepada Theasia mudah-mudahan niatnya memeluk islam akan terlaksana juga.


Threasia tersenyum. Tiada lagi kulihat air mata mengalir di pipinya. Keayuannya terserlah. Aku berusaha menolak rasa yang seolah-olah sedang menyelinap ke hatiku yang lama terkunci. Senyuman Threasia seakan sedang membakar kebekuan yang telah lama memagari hatiku.


Sebaik menamatkan sesi ta’arof, Threasia datang menghampiriku dengan senyuman.


”Terima kasih tuan untuk ucapan itu. Saya mula melihat dunia ini bersinar seolah cinta sedang menjenguk ruang hati saya yang sedang kosong ini. Apakah saya sedang jatuh cinta? Saya sedang mentafsirkannya!” Ungkap Threasia perlahan sambil matanya merenung tepat ke mataku. Bagaikan ada bahasa kedua yang sedang berbicara di mata Threasia. Hatiku pun bagai mula menyambut bicara tanpa suara itu.


Threasia!


****


Pintu bilikku diketuk seseorang. Buku motivasi karya Steven Covey yang sedang kubaca, aku letakkan di meja kecil sebelah katil. Aku segera bergegas membuka pintu.


”Tuan, saya ingin berbicara sebentar dengan tuan.” Ungkap Alexander yang datang sendirian di bilik penginapanku.


Aku persilakan dia duduk. Aku lihat wajahnya sugul sahaja. Alaxendar juga salah seorang peserta kursus. Dia juga antara peserta yang paling rapat denganku. Sering berkongsi cerita tentang suka dukanya. Dahulu sewaktu permulaan kursus sikapnya terhadapku sedikit keras dan penuh perasangka. Setelah melalui beberapa hari bersama, sikapnya mula berubah. Perwatakannya berubah sedikit tenang dan lembut.


“Tuan, saya sebenarnya mencintai Threasia.” Pendek dan lembut sahaja Alexander menuturkan kata-kata.


”Maksud kamu, saya jadi penghalang kepada hubungan kamu. Begitu?” Soalku kembali.


Alaxendar menundukkan kepala. Angin dingin menyelinap masuk dari pintu berenda yang sengaja sedikit kubuka. Aku amat senang sekali menikmati dingin segar udara Kundasang ini.


”Maaf tuan. Saya lihat Threasia begitu gembira setiap kali bersama tuan. Seolah saya ini tidak pernah wujud. Dapat saya fahami ada harapan yang berbunga di hatinya. Saya begitu terseksa!” Keluh Alaxendar lagi. Matanya merenung jauh ke luar tingkap bilik. Merenung puncak gunung Kinabalu yang boleh dilihat dengan jelas dari bilikku ini.Lelaki gagah di depan ku ini tewas dengan cinta. Cinta telah merampas segala kekuatannya.


”Cinta adalah sesuatu yang datang dari hati. Ianya tidak boleh dipaksa-paksa. Kalau kamu benar-benar mencintainya, kamu harus berusaha memikat hatinya. Jadilah seorang pemburu yang tidak pernah putus asa.” Ujarku kepada Alaxendar.


”Saya telah melakukan segalanya. Cuma satu perkara sahaja yang belum. Memeluk islam. Threasia mahu saya memeluk islam terlebih dahulu. Selepas itu baru Threasia akan menerima cinta saya.” Jawab Alexandar.


”Kalau itu kehendak Threasia, kenapa kamu tidak peluk islam sahaja. Bukankah cinta itu perlukan pengorbanan. Tetapi kalau kamu ingin memeluk islam, belajarlah mencintai Allah terlebih dahulu sebelum kamu mencintai Threasia.” Jawabku memberi dorongan dan jalan keluar kepada Alexander.


”Saya akan fikirkan nasihat tuan!” Alexander tersenyum lalu bangun menjabat tanganku kemudian keluar meninggalkan aku sendirian.


Ya Allah! Bagaimana kini tatakala aku mula menyukai seseorang, ada sahaja halangan yang datang. Apakah Allah sedang mengujiku? Apakah sebenarnya yang telah tertulis di Arashy? Apakah Threasia bakal menjadi jodohku? Atau Threasia telah ditakdirkan menjadi milik orang lain.Hatiku turut mula menyukai Threasia. Tapi aku pernah terluka di sini. Cukuplah kenangan pahit itu menjadi memori hitam yang tak ingin aku ulangi lagi. Telah lama aku berusaha memadamkan kenangan pahit itu. Kenangan pahit telah kubuang jauh.


Threasia!


****


Hujan lebat malam tadi menjadikan arus sungai Kiulu di Tamparuli mengalir begitu deras sekali. Beberapa batang pokok tumbang hanyut di bawah arus ke muara sungai. Deruan kuat arus Sungai Kiulu itu membangkitkan sedikit kebimbanganku samada perlu aktiviti berakit menggunakan bot getah menghilir Sungai Kiulu diteruskan kerana semua peserta tidak pernah melalui aktiviti ini. Namun tiada tanda-tanda ada di antara peserta yang ingin menarik diri dari menyertai aktiviti berakit ini.


Semua peserta yang lengkap dengan jaket keselamatan berada di dalam bot getah masing-masing dan bersedia untuk dilepaskan. Di dalam bot aku, jurupandu bot berada di hadapan sekali. Threasia duduk di hadapanku di sebelah kiri bot, sementara Alexandar dan seorang peserta yang lain duduk di sebelah kanan.


Sebaik isyarat bermula dilepaskan, bot-bot berserakan berlayar mengikut arus sungai. Kami berkayuh serentak. Beberapa kali bot yang kami naiki melambung dilambung arus deras sungai. Air sungai turut tidak henti-henti menerjah masuk kedalam bot. Batu-batu besar yang membentuk jeram menghadang membuat arus sungai menjadi begitu deras sekali, kami lalui dengan begitu susah payah. Terkadang sesekali bot kami tersangkut di celah batu-batu yang berserakan di sungai.


Saat bot kami melalui satu selekoh sungai, arus deras telah melambungkan bot kami begitu tinggi dan jatuh semula ke muka sungai dengan agak keras membuat kami semua terlambung. Threasia melambung tercampak keluar dari bot tapi sempat memaut lengan kiriku. Belum sempat keadaan menjadi pulih bot terlambung sekali lagi. Cengkaman tangan Threasia pada lenganku terlepas dan dia tercampak ke dalam sungai. Aku tak sempat menyambar tangan Threasia. Dia dihanyut arus deras. Lengan bajuku terkoyak kerana tarikkan keras Threasia.


Jurupandu bot berusaha merapatkan bot dengan Threasia yang sedang terkapai-kapai dalam arus deras. Alexandar yang sedari tadi terpaku tiba-tiba bangun terjun ke sungai. Dia berenang ke arah Threasia. Arus deras menyukarkan Alexander mendekati Threasia. Setelah beberapa kali gagal mencapai Threasia akhirnya satu tolakan arus deras membawa Alexander hampir kepada Threasia, segera tangan Threasia dicapai.


Jurupandu bot berjaya merapatkan bot itu kepada kedua-duanya sambil segera membaling pelampung penyelamat dan akhirnya menarik kedua-duanya ke dalam bot.


”Terima kasih, Alex!” Aku terdengar ungkapan terima kasih keluar dari mulut Threasia. Alexander membalas dengan senyuman.


Rambut Threasia yang basah dibelai-belainya. Aku menyaksikan detik itu dengan sedikit rasa cemburu.Threasia memandang kepadaku. Seolah ada rasa serbasalah bersarang di hatinya dengan tingkah Alexander membelainya. Aku cuma tersenyum. Sewaktu Alexander tidak memandangku, aku segera memberi isyarat dengan mulutku kepada Threasia bahawa Alexander cintakan kamu Threasia. Threasia hanya mengangguk.Aku cuba membaca apa yang berlaku.


Mungkin ini takdirku yang telah tuhan tetapkan. Bagaikan ada yang tersirap dengan peristiwa yang berlaku tadi. Seolah tuhan membuka hijab untuk melihat apakah yang akan berlaku pada antara aku dan Threasia.Tuhan telah mengatur perjalanan hidup dengan baik sekali. Andai aku menerima Theasia bererti hanya seorang insan sahaja yang akan memeluk islam. Jika aku membiarkan Alexander memiliki Threasia, mungkin dengan izin Allah kedua-duanya akan mengambil islam sebagai jalan hidup.


Threasia!


****


Saat perpisahan telah tiba. Tiga minggu begitu pantas berlalu. Sebaik tamat majlis penutupan kursus, aku menghampiri peserta-peserta. Aku perhatikan satu-satu wajah mereka. Jelas terbayang kesedihan di wajah peserta-peserta kursus. Sambil bersalaman, aku ucapkan selamat tinggal dan moga jumpa lagi. Peserta-peserta lelaki memelukku erat sementara peserta-peseta wanita memberi tunduk hormat.


Sewaktu acara bersalam berakhir tidak kulihat Threasia berada di dalam kelompok peserta. Puas mataku melilau-lilau mencari di segenap sudut, Threasia masih tidak kelihatan. Ada kesayuan di hatiku di saat-saat akhir sebegini tidak dapat bertemu dengan Threasia. Sehingga bas yang membawa peserta bertolak pulang ke Kota Kinabalu,Threasia tidak juga kelihatan.


Aku segera memasukan begku ke bonet teksi yang telah sedia menunggu untuk membawa ku ke lapangan terbang. Terasa sayu untuk meninggal tempat ini. Angin tiba-tiba bertiup deras membawa kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitamku. Jaket tebalku tidak mampu menghalang kedinginan yang tiba-tiba datang. Sekeliling kupandang menjadi kosong dan amat sepi. Puncak gunung Kinabalu tidak lagi kelihatan dilitupi oleh gerombolan awan putih.Kesedihan menjalar di hatiku.


Aku tiba-tiba jadi rindu untuk menatap wajah Threasia buat kali terakhir. Tuhan! izinkanlah aku menatap wajahnya buat kali terakhir. Tiada yang menjawab selain bunyi hembusan angin Kundasang yang kian menderu. Aku melangkah masuk ke kereta dan segera menutup pintu kereta biar hembusan dingin angin Kundasang tidak lagi memelukku.


Tok! Tok! Tok!Cermin tingkap kereta sebelah aku diketuk. Aku berpaling. Threasia! Aku segera keluar dari teksi lalu ke satu sudut bersama Threasia.


”Puas saya mencari kamu tadi! Saya sangkakan kamu tak mahu berjumpa saya lagi.” Kataku meminta penjelasan.Threasia hanya diam membisu. Tiada sepatah kata terucap dari bibirnya. Mata Threasia kulihat kemerahan bagaikan baru sahaja menangis.


”Maafkan saya, Threasia! Saya harus pulang ke Kuala Lumpur.” Aku pula bagaikan kehilangan kata-kata.


Kulihat mata Threasia kembali bergenang. Air mata tiba-tiba kembali mengalir di pipinya.Threasia mengangguk sambil mengesat air matanya Kami berdua terdiam. Deru angin Kundasang bagai mencengkam-cengkam dinginnya tanpa belas.


”Saya harus pergi sekarang, teksi telah lama menunggu untuk membawa saya pergi. Izinkan saya pergi sekarang!” Pintaku tidak lagi sanggup melihat air mata mengalir di pipi Threasia.


”Ini dari hati saya. Tuan bacalah dalam perjalanan pulang nanti.” Threasia menghulurkan sekeping kertas berwarna kuning yang siap terlipat empat kepadaku. Aku mengambilnya dan segera kumasukkan ke dalam kocek bajuku.


Aku melangkah perlahan masuk semula ke dalam teksi. Pintu teksi segera kututup dan kuberikan lambaian selamat tinggal buat Threasia. Dari dalam cermin sisi teksi itu, aku terlihat satu susuk tubuh yang kenali, Alexander!


Teksi yang membawa aku ke lapangan terbang Kota Kinabalu bergerak pantas meninggalkan pekan Kundasang. Hujan renyai-renyai di sepanjang jalan ke Kota Kinabalu menghalang aku dari menyaksikan keindahan di sekitar laluanku.


Surat dari kertas berwarna kuning yang diberikan Threasia tadi kubuka perlahan. Tulisannya berwarna hitam tertera cantik dan kemas. Aku menarik nafas panjang.


Salam Sejahtera,


Bagaimana harus saya mulakan kata-kata ketika hembusan dingin Kundasang memeluk diri ini erat. Anggap sahaja surat ini surat rayuan cinta Zulaikha yang mencintai Yusuf dengan sepenuh jiwanya. Lengan baju tuan telah terkoyak oleh jari jemariku, seperti koyaknya baju Yusuf oleh cengkaman cinta Zulaikha yang membuak-buak.


Sebulan yang lalu saya bermimpi bertemu seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dengan peribadi yang amanah, mulia dan baik agamanya. Sebagaimana mimpi Zulaikha tentang Yusuf begitulah mimpi saya. Peliknya saya mula jatuh cinta padanya. Hari-hari berikutnya mimpi itu datang lagi, sehingga kecintaan dan kasih sayang saya kepada pemuda tersebut terus berputik menjadi rindu dan rawan.Tuanlah pemuda yang hadir dalam mimpi saya itu.


Mahukan tuan melakukan satu jihad untuk islam? Saya pasti tuan mampu melakukannya. Di mata saya tuan memiliki segala syaratnya. Bimbinglah saya mengenal Allah. Ambillah saya sebagai isteri tuan yang sah! Saya tidak malu menyatakan cinta saya pada tuan. Sebagaimana Zulaikha yang tidak malu menyatakan cintanya kepada Yusuf. Cintailah saya kerana Allah kerana saya juga menyintai tuan kerana Allah.


Saya akan tunggu tuan di sini, di dalam kedinginan ini. Datanglah kalau rindu itu tiba-tiba datang menerjah ke hati tuan. Saya akan setia menunggu! – Zulaikha @Threasia Loren



Aku menutup semula surat Threasia. Aku lipat sebaik-baiknya dan kusimpan dikocek bajuku.


”Pak Cik, kita patah balik ke Kundasang!"


Rentik hujan yang tadi turun dengan lebatnya kini telah berhenti. Sinar sang suria mulai menjenguk di balik gumpulan awan putih. Puncak gunung Kinabalu bagaikan tersenyum.


Zulaikha!


Rencung - Prolog



Lubuk Aur, Sungai Paka, Dungun
27 Februari 1956,


Perahu jalur yang membawa dua belas orang anggota Jungle Squad menyusuri perlahan Sungai Paka. Keheningan dan kedamaian sekitar terganggu oleh bunyi deruan enjin berkuasa 1500 kuasa kuda itu berserta bunyi unggas yang bersahut-sahutan. Hujan renyai di penghujung musim tengkujuh tidak memperlihatkan tanda-tanda akan berhenti. Arus sungai agak deras akibat dari hujan lebat malam tadi membuatkan perahu jalur itu terumbang-ambing.

Koperal Muda Awang yang duduk di bahagian paling hadapan perahu sambil memegang Standgunnya dengan kemas. Senjata dibiarkan berada di dalam keadaan siap sedia. Matanya liar memandang ke kiri dan ke kanan tebing sungai mengawasi apa juga pergerakan yang mencurigakan.

Sesekali direnungnya ke wajah Inspektor Abdul Rahman yang duduk bersetentang dengannya. Rasa kagum cukup tinggi terhadap ketuanya ini. Pengalamannya menyaksikan sendiri keberanian Inspektor Rahman sewaktu bertempur dengan segerombolan komunis di Bukit Bauk masih terbayang di ingatannya.

Telah hampir satu jam mereka mudik Sungai Paka. Sebentar lagi perahu itu akan memasuki kawasan Lubuk Aur. Suasana yang tadinya agak bising dengan suara unggas kedengaran bersahut-sahutan. Seekor biawak sungai bertengek di batang pokok yang tumbang.

“Malaya akan merdeka tidak lama lagi.“ Bisik Muda Perlahan sambil memandang ke langit. Gumpalan awan hitam bergerak Perlahan. Matahari masih tidak kelihatan walaupun jam di tangannya sudah menunjukan pukul sembilan pagi. Titisan hujan jatuh menikam ke wajahnya. Baju celoreng hijaunya basah oleh hujan. Dia merasa sedikit kesejukan. Dia menjeling kepada rakan-rakan di sebelahnya. Masing-masing hanya mendiamkan diri sambil mengawasi hutan di kiri dan kanan tebing sungai.

“Aku harap dahrurat akan segera tamat. Keganasan ini telah meragut banyak nyawa rakyat tidak berdosa. Kalau Chin Peng benar-benar berjuang untuk kemerdekaan Malaya, dia dan kumpulannya mesti hentikan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat yang tak berdosa dan keluar dari hutan menyerah diri kepada kerajaan.” Balas Inspektor Abdul Rahman.

Muda mengangguk tanda setuju. Dia terbayang kekejaman yang dilakukan oleh pengganas komunis, Beratus ribu nyawa rakyat yang tak berdosa menjadi mangsa. Mereka disiksa dan dibunuh dengan kejam. Rakan-rakan seperjuangannya juga banyak yang telah kehilangan nyawa. Dia terkenang Sarjan Jusuh, Koperal Maniam, Koperal Abu, Koperal Wahid malah ramai lagi yang telah terkorban di muncung senjata pengganas komunis.

“Muda, esok hari ulang tahun perkahwinan aku yang ke lima kalau apa jadi pada aku hari ini, tolong beritahu isteriku, aku sayangkan dia.” Bisik Inspektor Abdul Rahman Perlahan. “Sayang sekali, tuhan masih belum mengurniakan kami zuriat. Aku inginkan zuriat yang boleh meneruskan perjuangan ini.”

“Jangan bimbang tuan, semuanya selamat, Insyaallah semuanya selamat...”

Belum sempat Muda menghabiskan kata-kata, tiba-tiba suasana dipecahkan dengan bunyikan tembakan bertalu-talu yang datang dari kedua-dua belah tebing sungai.

“Kita diserang!!! Jerit Inspektor Rahman membetulkan kedudukannya sambil melepaskan tembakan balas. Peluru-peluru musuh datang bersimpang siur dari pelbagai arah. Tidak terlihat kelibat batang tubuh musuh yang melepaskan tembakan.

Anggota Jungle Squad segera membalas tembakan tanpa henti ke arah kiri dan kanan tebing sungai. Tiada apa yang dapat dilihat di tebing sungai tetapi pasti musuh bersembunyi di balik batang pokok-pokok besar.

“Aduh!! Muda aku kena tembak!” jerit Lans Koperal Dahalan yang duduk disebelahnya sambil menekup dada.

Muda berpaling. Dilihatnya Lans Koperal Dahalan telah terkulai sambil memegang dadanya. Ada darah yang mengalir. Dia cuba menarik badan Lans Koperal Dahalan yang terbujur di tepi perahu tapi gagal. Tembakan musuh datang bertalu-talu. Perahu jalur itu terumbang ambing. Kocakan kuat menyebabkan tubuh Lans Koperal Dahalan tercampak jatuh ke dalam sungai. Muda hanya mampu memandang tubuh itu perlahan hanyut di bawa arus sungai yang deras.

“Terjun ke sungai semua, berenang ke tebing!!! Cari perlindungan cepat!!” Laung Inspektor Abdul Rahman sambil terus melepaskan tembakan.

Sambll rakan-rakan yang lain segera terjun ke dalam sungai dan berenang ke tebing. Muda memilih untuk bertahan di dalam perahu. Dia teruskan tembakan bertalu-talu ke arah tebing untuk memberikan perlindungan kepada rakan-rakannya yang berenang ke tebing.

Muda melihat beberapa orang rakannya berjaya berenang sampai ke tebing sungai dan terus melepaskan tembakan ke arah musuh yang berlindung di balik batang pokok-pokok besar itu.

Dua rakannya rebah terkena tembakan musuh. Koperal Mansor dan Lans Koperal Kassim tercampak ke dalam sungai. Air sungai bertukar menjadi merah. Perlahan tubuh keduanya hanyut dibawa arus deras. Tidak ada yang dapat Muda lakukan selain membiarkan air sungai membawa tubuh rakan-rakannya yang gugur itu pergi.

“Tuan, tuan macam mana?” Sempat Muda bertanya kepada Inspektor Rahman.

“Saya rasa saya dah kena tembakan musuh! Saya tak rasa sakit tapi tangan saya kebas!“ Getus Inspektor Rahman perlahan.

Muda menjeling ke arah lengan kiri Inspektor Rahman. Memang ada darah yang mengalir dari lengan kirinya itu, tapi Inspektor Abdul Rahman masih terus mengangkat senjatanya seolah-olah tidak terkesan dengan kecederaan yang dialaminya.

“Muda, kau kena terjun sekarang, tinggalkan perahu ni. Enjin perahu ni sudah kena tembakan musuh, sekejap lagi ia akan meletup.” Arah Inspektor Rahman kepada Muda agar segera terjun ke sungai.

“Tuan terjun dulu! Saya lindung tuan dengan tembakan saya. Cepat tuan terjun!” Jerit Muda menyuruh ketuanya itu terjun terlebih dahulu sementara dia akan memberikan tembakan perlindungan.

Tanpa berlengah, Inspektor Abdul Rahman segera terjun ke dalam sungai. Senjatanya di angkat ke atas. Muda segera bangun melepaskan tembakan demi tembakan ke arah musuh.

“Ya Allah!!! Aduh!!” Tiba-tiba Muda menjerit kesakitan. Peha sebelah kanannya ditembusi sebutir peluru. Muda mengeliat kesakitan. Dia cuba mengangkat senjatanya untuk membalas tembakan musuh. Namun dua lagi tembakan musuh tepat terkena lengan kanan dan kaki kirinya pula. Muda jatuh terjelepok.

Asap yang keluar dari enjin perahu jalur itu makin tebal. Api mula kelihatan marak membakar enjin perahu diikuti beberapa saat kemudian dengan satu letupan kuat. Perahu jalur itu terbakar. Hanya api yang marak berserta asap tebal yang terlihat menjulang ke langit.

Novel 2 - Surat Cinta Threasia



Sinopsis

Threasia @ Loren, seorang gadis Kadazandusun kelahiran daerah Kundasang, Sabah. Seorang gadis yang cantik namun sering gagal dalam cinta. Walau pun kegagalan demi kegagalan yang dialaminya. Namun dia tidak putus asa untuk terus memburu cinta.

Yusuf, seorang pemuda melayu semenanjung yang juga pernah gagal dalam cinta dengan seorang gadis Kadazandusun yang juga berasal dari Kundasang. Padanya cinta telah lama mati. Kini beliau menjadi seorang motivator kursus.

Kursus motivasi yang diadakan selama tiga minggu di sebuah hotel di Kundasang, akhirnya mempertemukan mereka. Seorang sebagai peserta dan seorang lagi sebagai seorang penceramah. Maka bermulalah kisah cinta persis kisah cinta antara Yusuf dan Zulaikha.

Novel 1 - Rencung



Sinopsis

Koperal Muda bin Awang hanya seorang pejuang kecil sama seperti ribuan lagi pejuang-pejuang yang tidak didendangkan malah tenggelam dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara. Seorang anggota Jungle Squad yang bertugas menjaga keamanan negara dari ancaman pengganas komunis di saat negara akan mencapai kemerdekaan. Perjuangan mempertaruhkan nyawa demi keamanan dan keharmonian negara.

Pertempuran demi pertempuran dengan pihak pengganas komunis yang rakus untuk menjajah negara selepas tamat penjajahan Jepun dilaluinya. Menyaksikan rakan-rakan seperjuangan yang gugur di medan perjuangan begitu menyayat hatinya. Inspektor Abdul Rahman, Inspektor Leong, Sarjan Zulkifli, Koperal Maniam, Koperal Hassan, Koperal Hisham, Lans Koperal Dahalan, Lans Koperal Mutusamy dan Lans Koperal Redwan, malah ribuan lagi pejuang telah terkorban.

Sewaktu menyusuri hulu Sungai Paka, pasukannya telah diserang hendap oleh pengganas komunis. Ramai rakan seperjuangannya yang terkorban. Koperal Muda bin Awang juga terkena beberapa tembakan musuh, lalu jatuh terhumban ke dalam arus sungai Paka yang mengalir deras. Dengan izin Allah bermulalah kembaranya seorang pejuang kecil ini ke satu zaman keagongan kerajaan Melayu Johor Riai.

Ashabul khafi