Cyber Cafe 33 - Bab 3

Bab 3

Sebaik pintu Cyber Café 33 dibukanya, bau yang teramat busuk seakan bau bangkai segera menusuk ke hidung Hidayah. Dengan segera terus sahaja tangannya menekup hidung dengan sehelai hujung kain tudung yang dipakainya. Perutnya terasa memulas. Sarapan pagi tadi terus sahaja termuntah keluar dari mulut tanpa dapat ditahan-tahan.

”Busuknya!” Getus Hidayah terbongkok di tepi longkang mengosok perutnya sambil mukanya berkerut-kerut menahan gejolak di dalam perut.

Pintu cyber cafe itu dikuakkan seluas-luasnya. Biar bau busuk itu segera keluar. Dia hanya berdiri di pintu siber cafer beberapa minit menunggu bau busuk itu berkurangan.

Matanya tiba-tiba sahaja terpandang palitan tanah merah di atas lantai permaidani. Perlahan-lahan dia melangkah mengikut palitan tanah merah itu. Palitan-palitan itu menuju ke arah komputer nombor 33 yang terletak paling hujung sekali. Semakin hampir semakin kuat bau busuk itu datang. Dia menekup kuat hidungnya kejap.

Meja komputer nombor 33 itu berada dalam keadaan tidak tersusun seperti sepatutnya. Kerusinya terbalik ke lantai dengan ke empat-empat kakinya terpancak ke atas. Monitor komputer nombor 33 itu rupanya masih terpasang.

Hidayah mengelengkan kepala. Ada sedikit rasa ketakutan menjalar di hatinya. Segala-galanya sama seperti pagi Jumaat yang sebelumnya. Bau busuk, kedudukan kerusi, tetikus, meja yang berserakan dan perkataan yang tercatat di komputer nombor 33 semuanya sama. Dia hairan memikirkan siapa yang membuat angkara ini dan apa tujuannya.

”Agaknya orang dengki melihat siber kafe ini mendapat sambutan baik dari pelajar-pelajar universiti di sini.” Keluh Hidayah.

Komputer itu dipadamkan. Meja dan kerusi komputer itu disusun semula Sebotol alat pewangi yang beraroma oren yang terletak di berhampiran dicapai dan segera disemburkan keseluruh cyber cafe yang memilik 33 biji komputer itu. Palitan-palitan tanah merah di atas karpet lantai itu dibersihkan Sistem penghawa dingin juga turut diaktifkan.

Setelah segalanya selesai. Hidayah melangkah kembali ke kaunter. Lalu menuju ke bilik belakang. Anak kunci peti besi yang sebesar kota TV bersaiz 14 inci dicapai. Peti besi keselamatan itu dibuka. Sekeping sampul surat yang berisi dengan wang hasil perniagaan malam semalam dikeluarkan.

Samput surat berwarna putih itu dibelek-belek. Agak berat dan tebal juga kandungannya. Ada perkataan RM750 tertera di sampulnya. Hidayah tersenyum. Pasti ramai pengunjung cyber cafe 33 ini malam tadi.

Diambilnya gunting kecil berwarna merah dari dalam laci, lalu diguntingnya dihujung, isinya dikeluarkan. Dia mengeluh, tiga helai daun bunga mawar yang telah kering terikat bersama-sama duit hasil kutipan semalam.

0 comments:

Post a Comment