Cyber Cafe 33 - Bab 4

Bab 4

Hidayah merenung monitor komputer di hadapannya sambil tangannya segera mencapai tetikus komputer dan mengarah cursur klik kepada laman Facebooknya. Hidayah tersenyum bila melihat nama Pak Penyu, rakan cybernya di ruangan chat. Segera dikliknya.

“Awas! Jangan pandang belakang….!!”

Hidayah tersenyum lagi. Memang Pak Penyu suka mengusiknya. Rakan cybernya ini memang selalu menemaninya pada waktu-waktu begini. Hidayah segera menjawab.

“Pak Penyu jahat. Suka takutkan Hidayah. Hidayah seorang diri je tau malam ni..!

Dia menunggu balasan Pak Penyu. Masih tiada jawapan. Seminit berlalu masih belum ada jawapan dari Pak Penyu. Tetiba sahaja Pak Penyu Offline. Hidayah kecewa.

Sudah dua minggu dia bertugas malam sendirian sejak Rozita berhenti kerja atas alasan sibuk dengan tugasan sebagai pelajar. Memang kalau diikutkan hati, Hidayah sendiri tak mahu lagi bekerja sambilan di siber cafe ini kerana tugasannya sebagai pelajar sendiri amat berat dipikul. Namun apakan daya, dia tak mahu menyusahkan ibubapanya di kampung, dia memilih untuk bekerja sambilan bagi menampung kos sara hidup di kampus.

Hidayah menguap menahan rasa mengantuknya. Matanya melirik ke arah jam di dinding yang sudah menunjukan pukul 12.00 tengah malam. Dia perlu bertugas hingga jam 3.00 pagi.

Deretan komputer di hadapannya kosong. Hanya kedengaran bunyi sistem penghawa dingin yang agak uzur. Tiada sesiapa pun di dalam siber kafe ini kecuali dirinya seorang. Tiada lagi pelanggan pada waktu itu sebaik sahaja dua pelajar wanita yang terakhir keluar lima minit tadi.

Hidayah memandang keluar melalui cermin pintu siber kafe itu. Hujan turun dengan lebat membasahi bumi. Sesekali terlihat pancaran kilat berserta dentum guruh membelah kegelapan malam. Tiada sesiapa yang berada di kaki lima kedai.

Hidayah menyadarkan badannya yang agak sedikit gempal di kerusinya. Matanya diarakan ke sekeping poster yang tertampal di dinding. Terpapar wajah seorang gadis berkulit putih dan berkaca mata bulat. Rambutnya panjang melepasi bahu. Gadis yang bernama Mawar binti Abdullah, ini telah dua minggu hilang. Tidak diketahui kemana perginya. Setelah hampir seminggu tidak menghadiri kuliah. Malah bila dihubungi di kampung, ibubapanya juga tidak tahu dia menghilang, sedangkan pakaian dan barang-barang peribadinya masih berada di asrama.

Hidayah tidak begitu mengenali gadis itu. Cuma dia pasti gadis ini adalah salah seorang pelanggan tetap Cyber Cafe 33. Gadis ini sering datang ke siber kafe ini pada waktu malam

“Komputer nombor 33.”

Satu suara lembut menerjah ke telinganya. Dia mendonggakkan kepalanya. Seorang gadis berbaju kurung putih berdiri dihadapannya, Rambutnya panjang mengurai tapi wajahnya tidak kelihatan kerana telah berpaling ke arah meja komputer nombor 33 yang berada dihujung sekali.

Dia hairan bagaimana gadis itu boleh tiba-tiba muncul di hadapannya. Tidak langsung dia mendengar kuakkan pintu cyber itu dibuka. Tidak mungkin dia tidak mendengar kerana kaunter dan pintu cyber dekat sahaja jaraknya.

Akses internet komputer nombor 33 segera dibuka. Matanya diarahkan kembali kepada gadis berbaju kurung putih itu. Hidayah akan kehairanan juga, begitu pantas gadis itu sudah berada di komputer nombor 33, sedangkan dia baru sahaja mengetip ikon akses internet komputer itu. Lama direnung gadis itu yang duduk menghadapi komputer sambil membelakangi dirinya. Tiada apa yang pelik tentang gadis itu.

Tiba-tiba sahaja ada wangian tiba-tiba datang menusuk ke hidungnya. Baunya seakan wangian bunga mawar. Hidayah memandang sekeliling siber kafe. Ada rasa ketakutan yang mula menyelinap di hatinya. Jantung Hidayah bergetar kencang. Cerita-cerita tentang kononnya kewujudan seorang gadis berbaju kurung putih yang sering merayau-rayau di kawasan kampus datang bermain-main di fikirannya.

Dadanya berdebar kencang. Bau wangian bunga mawar makin keras menusuk hidungnya. Pandangannya bagaikan kabur. Pendengarannya mula tuli.

Hidayah segera membongkok. Tangannya segera mencapai laci meja, Segera ditarik laci itu sambil meraba-raba ke dalam laci. Dia ingin segera mendapatkan buku Surah Yassin yang sememang disimpan didalam laci itu.

Surah Yassin yang diambil dari laci meja tadi segera dicapai. Perlahan-perlahan Surah Yassin itu dibaca. Namun bacaanya tersangkut-sangkut dan agak lintang pukang sebutannya. Dadanya berdegup kencang, bulu romanya terasa meremang. Hidayah meneruskan bacaannya sebaik mungkin. Namun sesekali tertangkap di telinganya seakan ada suara halus sedang menanggis, merintih sesekali ketawa mengilai.

Suara-suara merintih dan ketawa mengilai itu hilang. Hidayah mengeleng kepalanya. Tidak mengerti apakah yang didengarnya tadi hanya perasaannya sahaja.

Pintu cyber cafe tiba-tiba terkuak, susuk tubuh yang amat dikenali masuk. Kak Noormah tuan punya cafe rupanya. Hidayah memberi senyuman balas. Tetapi tiada reaksi dari kak Normah.

Kak Normah memandang ke arah gadis yang berbaju kurung itu, Perlahan-perlahan pintu cyber ditutup dan dikunci. Tirai bidai diturunkan. Tiada siapa yang diluar akan dapat melihat apa yang berlaku didalam.

Perlahan-lahan kak Normah berjalan menuju ke arah gadis itu. Sebaik menghampiri gadis itu, kak Normah memeluknya dari belakang. Tubuh gadis dirangkul rakus. Gadis itu meronta cuba melepaskan diri dari pelukan Kak Normah. Tubuh si gadis yang agak kurus dan kecil tidak mampu menahan.

”Jangan Kak, jangan buat macam ni..!” Rayu sigadis sambil cuba merungkaikan pelukan Kak Normah..

Kak Normah langsung tidak peduli. Sigadis terus dipeluk. Gadis itu cuba dicium.

Hidayah terpaku. Badannya tidak dapat digerakan. Tubuh badannya menjadi keras. Dia seolah-olah sebuah patung. Suaranya juga tidak keluar walau pun dia telah menjerit sekuat-kuat hati.

Pergelutan diantara kak Normah dan dan sigadis hanya mampu ditonton tanpa mampu berbuat apa-apa.

Satu tamparan keras mengenai pipi sigadis. Dia tercampak ke lantai. Kak Normah segera menerkam ke arah gadis itu. Satu lagi tamparan diberikan kepada sigadis. Gadis itu hanya lemah terbaring. Kak Normah tanpa lengah menggomol gadis yang tidak lagi bermaya itu.

Cyber Cafe 33 - Bab 3

Bab 3

Sebaik pintu Cyber Café 33 dibukanya, bau yang teramat busuk seakan bau bangkai segera menusuk ke hidung Hidayah. Dengan segera terus sahaja tangannya menekup hidung dengan sehelai hujung kain tudung yang dipakainya. Perutnya terasa memulas. Sarapan pagi tadi terus sahaja termuntah keluar dari mulut tanpa dapat ditahan-tahan.

”Busuknya!” Getus Hidayah terbongkok di tepi longkang mengosok perutnya sambil mukanya berkerut-kerut menahan gejolak di dalam perut.

Pintu cyber cafe itu dikuakkan seluas-luasnya. Biar bau busuk itu segera keluar. Dia hanya berdiri di pintu siber cafer beberapa minit menunggu bau busuk itu berkurangan.

Matanya tiba-tiba sahaja terpandang palitan tanah merah di atas lantai permaidani. Perlahan-lahan dia melangkah mengikut palitan tanah merah itu. Palitan-palitan itu menuju ke arah komputer nombor 33 yang terletak paling hujung sekali. Semakin hampir semakin kuat bau busuk itu datang. Dia menekup kuat hidungnya kejap.

Meja komputer nombor 33 itu berada dalam keadaan tidak tersusun seperti sepatutnya. Kerusinya terbalik ke lantai dengan ke empat-empat kakinya terpancak ke atas. Monitor komputer nombor 33 itu rupanya masih terpasang.

Hidayah mengelengkan kepala. Ada sedikit rasa ketakutan menjalar di hatinya. Segala-galanya sama seperti pagi Jumaat yang sebelumnya. Bau busuk, kedudukan kerusi, tetikus, meja yang berserakan dan perkataan yang tercatat di komputer nombor 33 semuanya sama. Dia hairan memikirkan siapa yang membuat angkara ini dan apa tujuannya.

”Agaknya orang dengki melihat siber kafe ini mendapat sambutan baik dari pelajar-pelajar universiti di sini.” Keluh Hidayah.

Komputer itu dipadamkan. Meja dan kerusi komputer itu disusun semula Sebotol alat pewangi yang beraroma oren yang terletak di berhampiran dicapai dan segera disemburkan keseluruh cyber cafe yang memilik 33 biji komputer itu. Palitan-palitan tanah merah di atas karpet lantai itu dibersihkan Sistem penghawa dingin juga turut diaktifkan.

Setelah segalanya selesai. Hidayah melangkah kembali ke kaunter. Lalu menuju ke bilik belakang. Anak kunci peti besi yang sebesar kota TV bersaiz 14 inci dicapai. Peti besi keselamatan itu dibuka. Sekeping sampul surat yang berisi dengan wang hasil perniagaan malam semalam dikeluarkan.

Samput surat berwarna putih itu dibelek-belek. Agak berat dan tebal juga kandungannya. Ada perkataan RM750 tertera di sampulnya. Hidayah tersenyum. Pasti ramai pengunjung cyber cafe 33 ini malam tadi.

Diambilnya gunting kecil berwarna merah dari dalam laci, lalu diguntingnya dihujung, isinya dikeluarkan. Dia mengeluh, tiga helai daun bunga mawar yang telah kering terikat bersama-sama duit hasil kutipan semalam.



Sinposis

Hidayah seorang pelajar jurusan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Gombak. Bagi menanggung sebahagian perbelanjaan pengajiannya, Hidayah telah bekekrja sambilan di Cyber Cafe 33 yang terletak di dalam kawasan kampus universiti.

Seorang pelajar perempuan bernama Rohayu didapati hilang. Semenjak kehilangan itu, pelajar-pelajar dikejutkan dengan beberapa gangguan bayangan gadis berbaju kurung yang merayau-rayau di kawasan kampus.

Hidayah pula mula diganggu oleh beberapa peristiwa yang menakutkan seaktu bertugas pada waktu malam di Cyber Cafe. Dia seolah-olah dapat melihat peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan kehilangan gadis itu.

Cyber cafe 33 - Bab 2

Bab 2

Hidayah mempercepatkan langkahnya menujuk ke bilik kuliah 2. Dia terlambat sedikit hari ini. Malam tadi dia agak kelewatan menutup Cyber Cafe kerana masih ramai pelajar-pelajar walaupun cyber cafe itu patutnya ditutup jam 1.00 pagi. Musim peperiksaan di universiti sekarang meyebabkan ramai pelajr tertumpu di cyber cafe 33 untuk mencari maklumat-maklumat.

”Hidayah! Sinilah cepat! Ada berita panas ni! Jerit Hanum sebaik Hidayah masuk kebilik kuliah.

Lega rasa hatinya bila Encik Monaharan Singh, pensyarahnya mengajar subjek undang-undang belum masuk ke bilik kuliah. Segera dia berlari-lari anak menuju ke meja Hanum yang terletak di barisan paling belakang. Hanum, Rozita, Mei Lan, Kumary dan Josephine berkumpul membicarakan sesuatu.

”Ada apa?” Pantas Hidayah bertanya kepada Hanum.

”Kau tak tahu lagi ke?. Rashida, budak tahun 4 tu. Pak guard jumpa dia pengsan pagi tadi dekat pintu masuk bilik air asrama B!” Jawab Hanum sambil membulatkan matanya.

”Tak !” jawab Hidayah ringkas.

”Tu la kau. Tidur mati. Bangunan Asrama tu kena bom tak sedar!” Getus Mei Lan sambil memuncung mulutnya.

”Aku balik lewatlah malam tadi. Pukul 3 pagi baru aku dapat tutup cyber cafe tu. Ramai pelanggan semalam. Aku bangun lambat. Ni yang aku lambat masuk.” Jawab Hidayah perlahan sambil menunjukan jam tangannya.

”Rashida pengsan pasal jumpa hantu kat bilik air tu! Kata dia hantu tu serupa macam budak Rahayu yang hilang tu! Dia nampak kepala budak Rahayu tu berdarah dan darah mengalir keluar membuak-buak. Itu yang buat dia pengsaan!” Balas pula Joshpine sambil menujukan kekepalanya bagaimana darah keluar membuak-buak daripada kepala.

”Eeeeee.. Seramnya!” Disambut pula oleh Kumari sambil menunjukan reaksi ketakutan.

Hidayah terdiam. Baru teringat malam tadi sewaktu balik ke biliknya, dia seakan melihat seorang gadis berbaju kurung biru berjalan melintas blok asramanya menuju ke asrama blok B. Mungkinkah dia juga bertemu dengan gadis itu atau hantu gadis itu? Tiba-tiba ada rasa seram menjalar di hatinya.

”Good morning class! Sorry for being late!” Tiba-tiba suara encik Manoharan kedengaran.

Hidayah dan rakan-rakannya segera kembali ke meja masing-masing.

Cyber Cafe 33 - Bab 1


Bab 1

Hujan turun kian lebat membasahi bumi. Banjaran Titiwangsa kelihatan berbalam-balam apabila kilat sekali sekala sabung menyabung menerangi kegelapan malam. Suasana sekeliling kawasan kampus universiti yang terletak berhampiran Banjaran Titiwangsa itu sunyi dan sepi sahaja, hanya lampu-lampu kecil dari bangunan-bangunan sekeliling sahaja yang menyinari.

Di dalam kegelapan malam, dua susuk tubuh terbongkok-bongkok mengusung sesuatu menuju ke arah sebatang pokok besar yang terletak kira-kira 30 meter di belakang bangunan kedai empat pintu dan asrama pelajar perempuan berdekatan. Pokok Angsana sebesar tiga pemeluk itu bergoyang-goyang ditiup angin.

”Letakan saja mayat itu disini. Kau gali lubang cepat!!” Perlahan tapi tegas arahan dari salah seorang yang berbadan agak gempal.

Sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa diletakkan ke tanah. Darah merah bercampur dengan air hujan masih mengalir keluar dari kepala jasad seorang gadis yang berbaju kurung biru. Matanya terbuka luas seolah tidak redha dengan kematian mengejut itu.

Cangkul yang dibawa bersama segera dicapai dan terus dihayunkan ke tanah yang kian membasah. Walau pun hanya melakukannya seorang, pantas sahaja kerja mengali lubang itu. Cebakan demi cebakan ke atas tanah yang digenani air itu dilakukan rancak tanpa henti. Tidak sampai lima belas minit, lubang sedalam empat kaki telah siap telah tersedia.

”Tolong aku tarik mayat ni. Kita campak sahaja ke dalam lubang! Kita kena cepat. Sekarang dah hampir jam 3.00 pagi.”

Walau pun masih lagi dalam keadaan tercungap kepenatan dan kebasahan, mayat si gadis diseret lalu dicampak ke lubang yang mula digenangi air.

”Kambus tanah tu. Letakan ranting kayu, daun-daun di atasnya supaya tiada kesan tanah ni pernah digali!”

Segera tanah itu dikambus kembali tanpa berlengah. Sebaik selesai beberapa ranting kayu, daun-daun basah dan seketl batu besar diletakan di atasnya.

”Ingat! Ini rahsia kita berdua. Kalau rahsia ini bocor, alamatnya kita berdua ke tali gantung!!” Satu suara memberi amaran keras.

”Jangan bimbang, aku tak akan bocorkan rahsia, dengan syarat upah seperti yang dijanjikan lumayan. Hahahaha..!” Jawab satu suara lagi sambil ketawa perlahan.

Dua susuk badan kembali terbongkok-bongkok sambil memandang kiri dan kanan sambil segera bereder meninggalkan kawasan pokok Angsana itu menuju ke arah deretan bangunan kedai.

Secara tiba-tiba guruh berdentum, satu panahan kilat memancar tepat mengenai salah satu dahan pokok angsana itu. Dahan itu rekah lalu jatuh menimpa ke atas kubur tanpa nisan itu.

Suara rintihan seorang perempuan sayup-sayup kedengaran bersama bunyi rintik-rintik hujan yang kian lebat membasahi bumi. Kilat masih terus sabung menyabung.

”Ada suara perempuan menangis..!” Kata salah seorang sambil memandang ke belakang, ke arah kuburan tanpa nesan itu yang tidak lagi kelihatan dalam kegelapan malam.

”Ah! itu perasaan kau sahaja. Aku tak dengar apa-apa pun. Kita ke Cyber cafe 33 hapuskan bukti-bukti.” Jawab satu suara lagi.

Tanah kubur tanpa nesan itu tiba-tiba merekah. Dari rekahan tanah itu, sejulur tangan yang disaluti tanah merah dan darah perlahan-lahan muncul.

”Kenapa kau bunuh aku?“

”Aku dendam kau!”

Surat Cinta Threasia - Prolog

Prolog

Paras rupa tidak sentiasa menjanjikan kebahagiaan. Ramai yang menderita kerananya. Threasia juga begitu. Walaupun di wajahnya sentiasa kelihatan ceria, namun di hatinya penuh dengan kisah duka. Kegagalan dalam cinta seolah telah sebati dalam dirinya.


“Cintaku kalah pada bulan.”


Aku hanya diam membisu. Wajah Threasia kurenung. Rambutnya yang panjang hitam keperangan terbuai-buai ditiup angin Kundasang. Walau pun tidak begitu memahami ungkapannya, aku hanya mengganggukan kepala seolah-olah mengerti apa yang ingin diperkatakan.


”Kenapa tidak sahaja mencintai apa yang kita ada. Kedinginan ini mencengkam erat diri kita, malah lebih dekat dari bulan. Cintai sahaja kedinginan ini.” Balasku atas apa yang Threasia perkatakan.


Threasia memejamkan matanya bagaikan sedang menikmati kedinginan angin malam yang berhembus dingin. Puncak gunung Kinabalu masih terlihat walau samar-samar dalam kegelapan malam. Tiada wajah sang bulan kelihatan di langit Kundasang.Aku dan Threasia seolah sudah kehilangan kata-kata. Kami hanya berdiam diri. Tiada siapa selain kami di luar bilik dewan hotel di atas puncak bukit ini. Sesekali terdengar deruan hembusan angin. Kedinginan begitu terasa mencengkam. Aku peluk diriku erat untuk menepiskan kedinginan yang datang menerpa.


“Kalau kegagalan itu penanda tahap kebodohan manusia, sayalah antara orang yang paling bodoh di dunia kerana sering gagal dalam cinta.” Ungkap Threasia lagi sambil matanya merenungku sayu seperti mengharapkan secebis simpati dariku.


Memang tidak dapat kusangkal gadis Kadazandusun ini memang cantik sekali. Kulitnya putih persis gadis-gadis Kadazandusun yang lain. Pipinya kemerahan-kemerahan bila melemparkan senyuman.


“Maaf Threasia, saya kurang arif tentang cinta. Saya tidak dapat menasihat kamu.” Jawabku.


Aku segera melangkah perlahan masuk semula ke dewan hotel. Threasia aku tinggalkan sendirian. Peserta-peserta kursus yang aku kendalikan sedang tekun melakukan tugasan yang ku beri tadi. Sebentar lagi sesi sebelah malam ini akan aku akhiri. Aku lihat Threasia masuk semula ke dalam dewan menyertai rakan-rakannya yang lain.


Threasia!


****


Mungkin takdir telah diperuntukan kepadaku untuk kembali semula ke pekan Kundasang ini walau kali ini cuma hanya untuk tiga minggu sahaja. Dulu aku telah bersumpah untuk tidak lagi menjejak kakiku di sini. Pekan kecil ini pernah mencatit kenangan pahit dalam diari kehidupanku. Dairi hitam penuh luka itu telah ku campak jauh ke lembah paling dalam di antara lereng-lereng bukit yang mengeliling gunung Kinabalu.


Aku sendiri kurang pasti kenapa kursus motivasi yang aku kendalikan ini mesti diadakan di pekan ini. Sedangkan banyak lagi kawasan menarik di Sabah yang boleh dipilih. Kenapa sahaja tidak di Keningau atau di Sandakan. Kenapa mesti pekan ini?.


Seramai lima puluh orang pemuda dan pemudi dari Sabah dan Sarawak dihimpunkan di sini dan diserahkan padaku untuk menjalani sesi motivasi. Senang sekali melihat wajah-wajah jernih anak-anak muda. Ada kelihatan cemas sedikit di wajah sesetengah mereka bila tiap kali aku berbicara suara aku agak lantang, apatah lagi wajah ku yang sedikit bengis dengan misai tebal yang menghiasi mukaku.


”Nama saya Yusuf bin Harun. Jangan takut, saya bukan dari golongan makhluk asing yang menjadikan manusia sebagai makanan harian.” Usikku sewaktu pertama kali memperkenalkan diriku kepada mereka. Barulah terlihat senyuman di wajah mereka.


Seorang gadis berkulit putih berbadan sederhana bangun memperkenalkan dirinya. Seorang gadis Kadazandusun yang berwatakan menarik. Seluruh mata tertumpu kepadanya.


“Namaku Threasia, Threasia Loren. Panggil sahaja Threase. Aku gadis Kadazandusun. Usia 25 tahun. Aku dilahirkan di sini, di pekan Kundasang ini. Dan yang paling utama aku masih belum berpunya!” Threasia ketawa tersipu-sipu sambil mempamerkan lesung pipit di pipinya yang kemerah-merahan. Rakan-rakan peserta yang lain bersorak bila mendengar perkataan belum berpunya.


‘Tuan sendiri bagaimana, sudah berpunya? Maksud saya, tuan sudah beristeri dan berapa orang anak?” Satu soalan nakal terbit dari mulut Threasia. Matanya merenung tepat ke mataku. Aku terbaca ada renungan mengoda di matanya.


”Belum!” Jawabku ringkas.”Ah! Mana mungkin seorang lelaki sekacak tuan ini masih belum dimiliki. Tuan ini memilih agaknya atau mungkin emmm.... tuan ini pernah dilukai oleh seorang perempuan lalu menolak cinta yang datang?” Threasia mengusik aku lagi sambil disambut oleh gelak tawa rakan-rakannya yang lain.


Aku cuma tersenyum. Benar! Hakikatnya aku telah dilukai oleh insan sejenismu Threasia. Walaupun telah lama berlalu, luka yang hingga kini masih terasa ngilunya. Namun aku bukan seorang pendendam. Segalanya telah kumaafkan. Aku tidak pernah membenci insan yang bernama perempuan. Cuma perasaan untuk mencintai seolah-olah telah pupus dari hatiku.


”Aku ingin mengubati luka hati tuan. Itu pun kalau tuan izinkan!” Ucap Threasia agak kuat sambil matanya dikenyitkan. Serentak itu satu senyuman manis dilemparkan pada ku.


”Huhuuuuu..! Hohooooo....!” Sorakan dan gelak hilai ketawa peserta-peserta kursus kedengaran kuat.


Threasia!


****


”Dahulu saya hampir memeluk islam.” Threasia memulakan bicara dalam sesi ta’aruf. Air matanya tiba-tiba mengalir perlahan di pipinya. Matanya redup seolah-olah melihat kembali ke masa lalunya.


”Semasa saya di universiti, saya jatuh cinta dengan seorang pelajar lelaki melayu. Itulah cinta pertama saya. Saya berjanji pada diri saya, cinta itu adalah yang pertama dan terakhir. Lelaki itu berjanji untuk mengahwini saya sebaik tamat pengajian.” Sambung Threasia semula selepas terhenti sekejap untuk mengelap air mata yang mengalir di pipinya. Rakan-rakan kumpulannya yang lain hanya diam menunjukan simpati.


”Malangnya, selepas tamat pengajian, lelaki yang saya cintai itu bernikah dengan gadis lain yang telah menjadi tunangannya sejak sekian lama. Saya rasa tertipu. Saya merasa amat terseksa dan terluka. Hidup ini bagaikan tidak lagi bererti.” Threasia mula teresak-esak.


Suasana sekeliling senyap dan sunyi seolah bersimpati. Dua tiga orang rakan kumpulannya yang lain menepuk bahu Threasia memintanya bersabar. Mereka juga bagaikan tidak menyangka seorang gadis yang kelihatan lincah dan sentiasa ceria malah menjadi seorang perserta yang sentiasa memotivasikan rakannya lain memiliki sejarah luka dalam dirinya.


Aku berusaha mengumpulkan kata-kata nasihat untuk sekurang-kurangnya meringankan beban yang ditanggungnya tapi mulutku bagaikan terkunci rapat. Tiada kata-kata nasihat dan perangsang yang datang ke mindaku seperti selalu. Apakah kelukaan yang ditanggungnya turut meresap ke kalbuku. Simpati atau aku mula jatuh cinta?


Threasia merenungku seakan meminta aku berkata sesuatu. Renungannya menusuk kalbuku. Apakah renungan itu satu isyarat yang perlu aku fahami dan tafsirkan maksudnya.


”Semua manusia di dunia ini mempunyai takdirnya sendiri. Kegagalan dalam cinta hanyalah satu dari takdir yang telah ditetapkan untuk kita. Pasti ada hikmah tersembunyi yang perlu kita cari. Tidak tuhan lakukan sesuatu itu dengan sia-sia. Kegagalan dalam cinta mungkin bererti kita akan menemui satu cinta yang jauh lebih baik dari cinta yang terdahulu. Mungkin sahaja tuhan ingin memberikan yang terbaik selepas kita telah merasakan sesuatu yang kurang baik terlebih dahulu....” Aku memula bicara dengan suara yang lembut dengan harapan agar mudah diterima oleh peserta-peserta yang lain juga.


Benarkah kata-kata yang keluar dari mulutku ini? Jujurkah aku menyatakan ini sedangkan aku sendiri telah lama menutup pintu hatiku kepada cinta. Biar berapa kali cinta pernah cuba mengetuk pintu hatiku, sengaja aku biarkan ia berlalu tanpa jawab.


”Threasia, niat kamu untuk memeluk agama islam adalah suatu yang suci, tapi kamu masih tidak melakukannya. Andainya niat kamu memeluk islam hanya kerana cinta kamu kepada seorang lelaki, maka apabila lelaki itu hilang dari kamu, maka hilang juga cinta kamu kepada islam. Cintailah islam kerana Allah kerana Allah tidak akan pernah hilang dari hidupmu. Islam bukanlah agama ikutan. Ianya adalah kepercayaan dan keimanan dalam hati.” Tegasku kepada Theasia mudah-mudahan niatnya memeluk islam akan terlaksana juga.


Threasia tersenyum. Tiada lagi kulihat air mata mengalir di pipinya. Keayuannya terserlah. Aku berusaha menolak rasa yang seolah-olah sedang menyelinap ke hatiku yang lama terkunci. Senyuman Threasia seakan sedang membakar kebekuan yang telah lama memagari hatiku.


Sebaik menamatkan sesi ta’arof, Threasia datang menghampiriku dengan senyuman.


”Terima kasih tuan untuk ucapan itu. Saya mula melihat dunia ini bersinar seolah cinta sedang menjenguk ruang hati saya yang sedang kosong ini. Apakah saya sedang jatuh cinta? Saya sedang mentafsirkannya!” Ungkap Threasia perlahan sambil matanya merenung tepat ke mataku. Bagaikan ada bahasa kedua yang sedang berbicara di mata Threasia. Hatiku pun bagai mula menyambut bicara tanpa suara itu.


Threasia!


****


Pintu bilikku diketuk seseorang. Buku motivasi karya Steven Covey yang sedang kubaca, aku letakkan di meja kecil sebelah katil. Aku segera bergegas membuka pintu.


”Tuan, saya ingin berbicara sebentar dengan tuan.” Ungkap Alexander yang datang sendirian di bilik penginapanku.


Aku persilakan dia duduk. Aku lihat wajahnya sugul sahaja. Alaxendar juga salah seorang peserta kursus. Dia juga antara peserta yang paling rapat denganku. Sering berkongsi cerita tentang suka dukanya. Dahulu sewaktu permulaan kursus sikapnya terhadapku sedikit keras dan penuh perasangka. Setelah melalui beberapa hari bersama, sikapnya mula berubah. Perwatakannya berubah sedikit tenang dan lembut.


“Tuan, saya sebenarnya mencintai Threasia.” Pendek dan lembut sahaja Alexander menuturkan kata-kata.


”Maksud kamu, saya jadi penghalang kepada hubungan kamu. Begitu?” Soalku kembali.


Alaxendar menundukkan kepala. Angin dingin menyelinap masuk dari pintu berenda yang sengaja sedikit kubuka. Aku amat senang sekali menikmati dingin segar udara Kundasang ini.


”Maaf tuan. Saya lihat Threasia begitu gembira setiap kali bersama tuan. Seolah saya ini tidak pernah wujud. Dapat saya fahami ada harapan yang berbunga di hatinya. Saya begitu terseksa!” Keluh Alaxendar lagi. Matanya merenung jauh ke luar tingkap bilik. Merenung puncak gunung Kinabalu yang boleh dilihat dengan jelas dari bilikku ini.Lelaki gagah di depan ku ini tewas dengan cinta. Cinta telah merampas segala kekuatannya.


”Cinta adalah sesuatu yang datang dari hati. Ianya tidak boleh dipaksa-paksa. Kalau kamu benar-benar mencintainya, kamu harus berusaha memikat hatinya. Jadilah seorang pemburu yang tidak pernah putus asa.” Ujarku kepada Alaxendar.


”Saya telah melakukan segalanya. Cuma satu perkara sahaja yang belum. Memeluk islam. Threasia mahu saya memeluk islam terlebih dahulu. Selepas itu baru Threasia akan menerima cinta saya.” Jawab Alexandar.


”Kalau itu kehendak Threasia, kenapa kamu tidak peluk islam sahaja. Bukankah cinta itu perlukan pengorbanan. Tetapi kalau kamu ingin memeluk islam, belajarlah mencintai Allah terlebih dahulu sebelum kamu mencintai Threasia.” Jawabku memberi dorongan dan jalan keluar kepada Alexander.


”Saya akan fikirkan nasihat tuan!” Alexander tersenyum lalu bangun menjabat tanganku kemudian keluar meninggalkan aku sendirian.


Ya Allah! Bagaimana kini tatakala aku mula menyukai seseorang, ada sahaja halangan yang datang. Apakah Allah sedang mengujiku? Apakah sebenarnya yang telah tertulis di Arashy? Apakah Threasia bakal menjadi jodohku? Atau Threasia telah ditakdirkan menjadi milik orang lain.Hatiku turut mula menyukai Threasia. Tapi aku pernah terluka di sini. Cukuplah kenangan pahit itu menjadi memori hitam yang tak ingin aku ulangi lagi. Telah lama aku berusaha memadamkan kenangan pahit itu. Kenangan pahit telah kubuang jauh.


Threasia!


****


Hujan lebat malam tadi menjadikan arus sungai Kiulu di Tamparuli mengalir begitu deras sekali. Beberapa batang pokok tumbang hanyut di bawah arus ke muara sungai. Deruan kuat arus Sungai Kiulu itu membangkitkan sedikit kebimbanganku samada perlu aktiviti berakit menggunakan bot getah menghilir Sungai Kiulu diteruskan kerana semua peserta tidak pernah melalui aktiviti ini. Namun tiada tanda-tanda ada di antara peserta yang ingin menarik diri dari menyertai aktiviti berakit ini.


Semua peserta yang lengkap dengan jaket keselamatan berada di dalam bot getah masing-masing dan bersedia untuk dilepaskan. Di dalam bot aku, jurupandu bot berada di hadapan sekali. Threasia duduk di hadapanku di sebelah kiri bot, sementara Alexandar dan seorang peserta yang lain duduk di sebelah kanan.


Sebaik isyarat bermula dilepaskan, bot-bot berserakan berlayar mengikut arus sungai. Kami berkayuh serentak. Beberapa kali bot yang kami naiki melambung dilambung arus deras sungai. Air sungai turut tidak henti-henti menerjah masuk kedalam bot. Batu-batu besar yang membentuk jeram menghadang membuat arus sungai menjadi begitu deras sekali, kami lalui dengan begitu susah payah. Terkadang sesekali bot kami tersangkut di celah batu-batu yang berserakan di sungai.


Saat bot kami melalui satu selekoh sungai, arus deras telah melambungkan bot kami begitu tinggi dan jatuh semula ke muka sungai dengan agak keras membuat kami semua terlambung. Threasia melambung tercampak keluar dari bot tapi sempat memaut lengan kiriku. Belum sempat keadaan menjadi pulih bot terlambung sekali lagi. Cengkaman tangan Threasia pada lenganku terlepas dan dia tercampak ke dalam sungai. Aku tak sempat menyambar tangan Threasia. Dia dihanyut arus deras. Lengan bajuku terkoyak kerana tarikkan keras Threasia.


Jurupandu bot berusaha merapatkan bot dengan Threasia yang sedang terkapai-kapai dalam arus deras. Alexandar yang sedari tadi terpaku tiba-tiba bangun terjun ke sungai. Dia berenang ke arah Threasia. Arus deras menyukarkan Alexander mendekati Threasia. Setelah beberapa kali gagal mencapai Threasia akhirnya satu tolakan arus deras membawa Alexander hampir kepada Threasia, segera tangan Threasia dicapai.


Jurupandu bot berjaya merapatkan bot itu kepada kedua-duanya sambil segera membaling pelampung penyelamat dan akhirnya menarik kedua-duanya ke dalam bot.


”Terima kasih, Alex!” Aku terdengar ungkapan terima kasih keluar dari mulut Threasia. Alexander membalas dengan senyuman.


Rambut Threasia yang basah dibelai-belainya. Aku menyaksikan detik itu dengan sedikit rasa cemburu.Threasia memandang kepadaku. Seolah ada rasa serbasalah bersarang di hatinya dengan tingkah Alexander membelainya. Aku cuma tersenyum. Sewaktu Alexander tidak memandangku, aku segera memberi isyarat dengan mulutku kepada Threasia bahawa Alexander cintakan kamu Threasia. Threasia hanya mengangguk.Aku cuba membaca apa yang berlaku.


Mungkin ini takdirku yang telah tuhan tetapkan. Bagaikan ada yang tersirap dengan peristiwa yang berlaku tadi. Seolah tuhan membuka hijab untuk melihat apakah yang akan berlaku pada antara aku dan Threasia.Tuhan telah mengatur perjalanan hidup dengan baik sekali. Andai aku menerima Theasia bererti hanya seorang insan sahaja yang akan memeluk islam. Jika aku membiarkan Alexander memiliki Threasia, mungkin dengan izin Allah kedua-duanya akan mengambil islam sebagai jalan hidup.


Threasia!


****


Saat perpisahan telah tiba. Tiga minggu begitu pantas berlalu. Sebaik tamat majlis penutupan kursus, aku menghampiri peserta-peserta. Aku perhatikan satu-satu wajah mereka. Jelas terbayang kesedihan di wajah peserta-peserta kursus. Sambil bersalaman, aku ucapkan selamat tinggal dan moga jumpa lagi. Peserta-peserta lelaki memelukku erat sementara peserta-peseta wanita memberi tunduk hormat.


Sewaktu acara bersalam berakhir tidak kulihat Threasia berada di dalam kelompok peserta. Puas mataku melilau-lilau mencari di segenap sudut, Threasia masih tidak kelihatan. Ada kesayuan di hatiku di saat-saat akhir sebegini tidak dapat bertemu dengan Threasia. Sehingga bas yang membawa peserta bertolak pulang ke Kota Kinabalu,Threasia tidak juga kelihatan.


Aku segera memasukan begku ke bonet teksi yang telah sedia menunggu untuk membawa ku ke lapangan terbang. Terasa sayu untuk meninggal tempat ini. Angin tiba-tiba bertiup deras membawa kedinginan yang mencengkam hingga ke tulang hitamku. Jaket tebalku tidak mampu menghalang kedinginan yang tiba-tiba datang. Sekeliling kupandang menjadi kosong dan amat sepi. Puncak gunung Kinabalu tidak lagi kelihatan dilitupi oleh gerombolan awan putih.Kesedihan menjalar di hatiku.


Aku tiba-tiba jadi rindu untuk menatap wajah Threasia buat kali terakhir. Tuhan! izinkanlah aku menatap wajahnya buat kali terakhir. Tiada yang menjawab selain bunyi hembusan angin Kundasang yang kian menderu. Aku melangkah masuk ke kereta dan segera menutup pintu kereta biar hembusan dingin angin Kundasang tidak lagi memelukku.


Tok! Tok! Tok!Cermin tingkap kereta sebelah aku diketuk. Aku berpaling. Threasia! Aku segera keluar dari teksi lalu ke satu sudut bersama Threasia.


”Puas saya mencari kamu tadi! Saya sangkakan kamu tak mahu berjumpa saya lagi.” Kataku meminta penjelasan.Threasia hanya diam membisu. Tiada sepatah kata terucap dari bibirnya. Mata Threasia kulihat kemerahan bagaikan baru sahaja menangis.


”Maafkan saya, Threasia! Saya harus pulang ke Kuala Lumpur.” Aku pula bagaikan kehilangan kata-kata.


Kulihat mata Threasia kembali bergenang. Air mata tiba-tiba kembali mengalir di pipinya.Threasia mengangguk sambil mengesat air matanya Kami berdua terdiam. Deru angin Kundasang bagai mencengkam-cengkam dinginnya tanpa belas.


”Saya harus pergi sekarang, teksi telah lama menunggu untuk membawa saya pergi. Izinkan saya pergi sekarang!” Pintaku tidak lagi sanggup melihat air mata mengalir di pipi Threasia.


”Ini dari hati saya. Tuan bacalah dalam perjalanan pulang nanti.” Threasia menghulurkan sekeping kertas berwarna kuning yang siap terlipat empat kepadaku. Aku mengambilnya dan segera kumasukkan ke dalam kocek bajuku.


Aku melangkah perlahan masuk semula ke dalam teksi. Pintu teksi segera kututup dan kuberikan lambaian selamat tinggal buat Threasia. Dari dalam cermin sisi teksi itu, aku terlihat satu susuk tubuh yang kenali, Alexander!


Teksi yang membawa aku ke lapangan terbang Kota Kinabalu bergerak pantas meninggalkan pekan Kundasang. Hujan renyai-renyai di sepanjang jalan ke Kota Kinabalu menghalang aku dari menyaksikan keindahan di sekitar laluanku.


Surat dari kertas berwarna kuning yang diberikan Threasia tadi kubuka perlahan. Tulisannya berwarna hitam tertera cantik dan kemas. Aku menarik nafas panjang.


Salam Sejahtera,


Bagaimana harus saya mulakan kata-kata ketika hembusan dingin Kundasang memeluk diri ini erat. Anggap sahaja surat ini surat rayuan cinta Zulaikha yang mencintai Yusuf dengan sepenuh jiwanya. Lengan baju tuan telah terkoyak oleh jari jemariku, seperti koyaknya baju Yusuf oleh cengkaman cinta Zulaikha yang membuak-buak.


Sebulan yang lalu saya bermimpi bertemu seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dengan peribadi yang amanah, mulia dan baik agamanya. Sebagaimana mimpi Zulaikha tentang Yusuf begitulah mimpi saya. Peliknya saya mula jatuh cinta padanya. Hari-hari berikutnya mimpi itu datang lagi, sehingga kecintaan dan kasih sayang saya kepada pemuda tersebut terus berputik menjadi rindu dan rawan.Tuanlah pemuda yang hadir dalam mimpi saya itu.


Mahukan tuan melakukan satu jihad untuk islam? Saya pasti tuan mampu melakukannya. Di mata saya tuan memiliki segala syaratnya. Bimbinglah saya mengenal Allah. Ambillah saya sebagai isteri tuan yang sah! Saya tidak malu menyatakan cinta saya pada tuan. Sebagaimana Zulaikha yang tidak malu menyatakan cintanya kepada Yusuf. Cintailah saya kerana Allah kerana saya juga menyintai tuan kerana Allah.


Saya akan tunggu tuan di sini, di dalam kedinginan ini. Datanglah kalau rindu itu tiba-tiba datang menerjah ke hati tuan. Saya akan setia menunggu! – Zulaikha @Threasia Loren



Aku menutup semula surat Threasia. Aku lipat sebaik-baiknya dan kusimpan dikocek bajuku.


”Pak Cik, kita patah balik ke Kundasang!"


Rentik hujan yang tadi turun dengan lebatnya kini telah berhenti. Sinar sang suria mulai menjenguk di balik gumpulan awan putih. Puncak gunung Kinabalu bagaikan tersenyum.


Zulaikha!


Rencung - Prolog



Lubuk Aur, Sungai Paka, Dungun
27 Februari 1956,


Perahu jalur yang membawa dua belas orang anggota Jungle Squad menyusuri perlahan Sungai Paka. Keheningan dan kedamaian sekitar terganggu oleh bunyi deruan enjin berkuasa 1500 kuasa kuda itu berserta bunyi unggas yang bersahut-sahutan. Hujan renyai di penghujung musim tengkujuh tidak memperlihatkan tanda-tanda akan berhenti. Arus sungai agak deras akibat dari hujan lebat malam tadi membuatkan perahu jalur itu terumbang-ambing.

Koperal Muda Awang yang duduk di bahagian paling hadapan perahu sambil memegang Standgunnya dengan kemas. Senjata dibiarkan berada di dalam keadaan siap sedia. Matanya liar memandang ke kiri dan ke kanan tebing sungai mengawasi apa juga pergerakan yang mencurigakan.

Sesekali direnungnya ke wajah Inspektor Abdul Rahman yang duduk bersetentang dengannya. Rasa kagum cukup tinggi terhadap ketuanya ini. Pengalamannya menyaksikan sendiri keberanian Inspektor Rahman sewaktu bertempur dengan segerombolan komunis di Bukit Bauk masih terbayang di ingatannya.

Telah hampir satu jam mereka mudik Sungai Paka. Sebentar lagi perahu itu akan memasuki kawasan Lubuk Aur. Suasana yang tadinya agak bising dengan suara unggas kedengaran bersahut-sahutan. Seekor biawak sungai bertengek di batang pokok yang tumbang.

“Malaya akan merdeka tidak lama lagi.“ Bisik Muda Perlahan sambil memandang ke langit. Gumpalan awan hitam bergerak Perlahan. Matahari masih tidak kelihatan walaupun jam di tangannya sudah menunjukan pukul sembilan pagi. Titisan hujan jatuh menikam ke wajahnya. Baju celoreng hijaunya basah oleh hujan. Dia merasa sedikit kesejukan. Dia menjeling kepada rakan-rakan di sebelahnya. Masing-masing hanya mendiamkan diri sambil mengawasi hutan di kiri dan kanan tebing sungai.

“Aku harap dahrurat akan segera tamat. Keganasan ini telah meragut banyak nyawa rakyat tidak berdosa. Kalau Chin Peng benar-benar berjuang untuk kemerdekaan Malaya, dia dan kumpulannya mesti hentikan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat yang tak berdosa dan keluar dari hutan menyerah diri kepada kerajaan.” Balas Inspektor Abdul Rahman.

Muda mengangguk tanda setuju. Dia terbayang kekejaman yang dilakukan oleh pengganas komunis, Beratus ribu nyawa rakyat yang tak berdosa menjadi mangsa. Mereka disiksa dan dibunuh dengan kejam. Rakan-rakan seperjuangannya juga banyak yang telah kehilangan nyawa. Dia terkenang Sarjan Jusuh, Koperal Maniam, Koperal Abu, Koperal Wahid malah ramai lagi yang telah terkorban di muncung senjata pengganas komunis.

“Muda, esok hari ulang tahun perkahwinan aku yang ke lima kalau apa jadi pada aku hari ini, tolong beritahu isteriku, aku sayangkan dia.” Bisik Inspektor Abdul Rahman Perlahan. “Sayang sekali, tuhan masih belum mengurniakan kami zuriat. Aku inginkan zuriat yang boleh meneruskan perjuangan ini.”

“Jangan bimbang tuan, semuanya selamat, Insyaallah semuanya selamat...”

Belum sempat Muda menghabiskan kata-kata, tiba-tiba suasana dipecahkan dengan bunyikan tembakan bertalu-talu yang datang dari kedua-dua belah tebing sungai.

“Kita diserang!!! Jerit Inspektor Rahman membetulkan kedudukannya sambil melepaskan tembakan balas. Peluru-peluru musuh datang bersimpang siur dari pelbagai arah. Tidak terlihat kelibat batang tubuh musuh yang melepaskan tembakan.

Anggota Jungle Squad segera membalas tembakan tanpa henti ke arah kiri dan kanan tebing sungai. Tiada apa yang dapat dilihat di tebing sungai tetapi pasti musuh bersembunyi di balik batang pokok-pokok besar.

“Aduh!! Muda aku kena tembak!” jerit Lans Koperal Dahalan yang duduk disebelahnya sambil menekup dada.

Muda berpaling. Dilihatnya Lans Koperal Dahalan telah terkulai sambil memegang dadanya. Ada darah yang mengalir. Dia cuba menarik badan Lans Koperal Dahalan yang terbujur di tepi perahu tapi gagal. Tembakan musuh datang bertalu-talu. Perahu jalur itu terumbang ambing. Kocakan kuat menyebabkan tubuh Lans Koperal Dahalan tercampak jatuh ke dalam sungai. Muda hanya mampu memandang tubuh itu perlahan hanyut di bawa arus sungai yang deras.

“Terjun ke sungai semua, berenang ke tebing!!! Cari perlindungan cepat!!” Laung Inspektor Abdul Rahman sambil terus melepaskan tembakan.

Sambll rakan-rakan yang lain segera terjun ke dalam sungai dan berenang ke tebing. Muda memilih untuk bertahan di dalam perahu. Dia teruskan tembakan bertalu-talu ke arah tebing untuk memberikan perlindungan kepada rakan-rakannya yang berenang ke tebing.

Muda melihat beberapa orang rakannya berjaya berenang sampai ke tebing sungai dan terus melepaskan tembakan ke arah musuh yang berlindung di balik batang pokok-pokok besar itu.

Dua rakannya rebah terkena tembakan musuh. Koperal Mansor dan Lans Koperal Kassim tercampak ke dalam sungai. Air sungai bertukar menjadi merah. Perlahan tubuh keduanya hanyut dibawa arus deras. Tidak ada yang dapat Muda lakukan selain membiarkan air sungai membawa tubuh rakan-rakannya yang gugur itu pergi.

“Tuan, tuan macam mana?” Sempat Muda bertanya kepada Inspektor Rahman.

“Saya rasa saya dah kena tembakan musuh! Saya tak rasa sakit tapi tangan saya kebas!“ Getus Inspektor Rahman perlahan.

Muda menjeling ke arah lengan kiri Inspektor Rahman. Memang ada darah yang mengalir dari lengan kirinya itu, tapi Inspektor Abdul Rahman masih terus mengangkat senjatanya seolah-olah tidak terkesan dengan kecederaan yang dialaminya.

“Muda, kau kena terjun sekarang, tinggalkan perahu ni. Enjin perahu ni sudah kena tembakan musuh, sekejap lagi ia akan meletup.” Arah Inspektor Rahman kepada Muda agar segera terjun ke sungai.

“Tuan terjun dulu! Saya lindung tuan dengan tembakan saya. Cepat tuan terjun!” Jerit Muda menyuruh ketuanya itu terjun terlebih dahulu sementara dia akan memberikan tembakan perlindungan.

Tanpa berlengah, Inspektor Abdul Rahman segera terjun ke dalam sungai. Senjatanya di angkat ke atas. Muda segera bangun melepaskan tembakan demi tembakan ke arah musuh.

“Ya Allah!!! Aduh!!” Tiba-tiba Muda menjerit kesakitan. Peha sebelah kanannya ditembusi sebutir peluru. Muda mengeliat kesakitan. Dia cuba mengangkat senjatanya untuk membalas tembakan musuh. Namun dua lagi tembakan musuh tepat terkena lengan kanan dan kaki kirinya pula. Muda jatuh terjelepok.

Asap yang keluar dari enjin perahu jalur itu makin tebal. Api mula kelihatan marak membakar enjin perahu diikuti beberapa saat kemudian dengan satu letupan kuat. Perahu jalur itu terbakar. Hanya api yang marak berserta asap tebal yang terlihat menjulang ke langit.

Novel 2 - Surat Cinta Threasia



Sinopsis

Threasia @ Loren, seorang gadis Kadazandusun kelahiran daerah Kundasang, Sabah. Seorang gadis yang cantik namun sering gagal dalam cinta. Walau pun kegagalan demi kegagalan yang dialaminya. Namun dia tidak putus asa untuk terus memburu cinta.

Yusuf, seorang pemuda melayu semenanjung yang juga pernah gagal dalam cinta dengan seorang gadis Kadazandusun yang juga berasal dari Kundasang. Padanya cinta telah lama mati. Kini beliau menjadi seorang motivator kursus.

Kursus motivasi yang diadakan selama tiga minggu di sebuah hotel di Kundasang, akhirnya mempertemukan mereka. Seorang sebagai peserta dan seorang lagi sebagai seorang penceramah. Maka bermulalah kisah cinta persis kisah cinta antara Yusuf dan Zulaikha.

Novel 1 - Rencung



Sinopsis

Koperal Muda bin Awang hanya seorang pejuang kecil sama seperti ribuan lagi pejuang-pejuang yang tidak didendangkan malah tenggelam dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara. Seorang anggota Jungle Squad yang bertugas menjaga keamanan negara dari ancaman pengganas komunis di saat negara akan mencapai kemerdekaan. Perjuangan mempertaruhkan nyawa demi keamanan dan keharmonian negara.

Pertempuran demi pertempuran dengan pihak pengganas komunis yang rakus untuk menjajah negara selepas tamat penjajahan Jepun dilaluinya. Menyaksikan rakan-rakan seperjuangan yang gugur di medan perjuangan begitu menyayat hatinya. Inspektor Abdul Rahman, Inspektor Leong, Sarjan Zulkifli, Koperal Maniam, Koperal Hassan, Koperal Hisham, Lans Koperal Dahalan, Lans Koperal Mutusamy dan Lans Koperal Redwan, malah ribuan lagi pejuang telah terkorban.

Sewaktu menyusuri hulu Sungai Paka, pasukannya telah diserang hendap oleh pengganas komunis. Ramai rakan seperjuangannya yang terkorban. Koperal Muda bin Awang juga terkena beberapa tembakan musuh, lalu jatuh terhumban ke dalam arus sungai Paka yang mengalir deras. Dengan izin Allah bermulalah kembaranya seorang pejuang kecil ini ke satu zaman keagongan kerajaan Melayu Johor Riai.

Ashabul khafi